[Topik Lisan] The Dog: Hentikan Buli Siber Sekarang Juga!

RINGKASAN:

Pelajaran ini bersekitar mengenai sebuah filem pendek bertajuk The Dog yang menyentuh perkara-perkara berkaitan dengan buli siber yang diketengahkan secara simbolik. Filem pendek ini merupakan hasil kerja sekumpulan pelajar dari sekolah kami yang berjaya mendapat hadiah Perak dalam pertandingan SDMA 2017.

Pelajar: Menengah atas
Masa: 60 minit
Aktiviti: Menonton filem pendek, memberikan pendapat dan membedah teknik penyampaian mesej secara simbolik dalam penceritaan
Topik: The Dog: Hentikan Buli Siber Sekarang Juga!
Bahasa: Kosa kata berkait dengan topik
Bahan: Filem pendek

LANGKAH PERTAMA:

Guru minta pelajar memikirkan soalan-soalan berikut:

Pernahkah kamu mendengar perkataan ini: metafora (atau metaphor dalam Bahasa Inggeris)?

Pernahkah kamu mempelajari mengenai metafora dalam pelajaran Bahasa Inggeris atau Sastera Inggeris (literature)?

Apakah yang kamu tahu tentang metafora?

Guru mengundang beberapa orang pelajar untuk memberikan jawapan kepada soalan terakhir sebelum menerangkan bahawa metafora adalah kata-kata yang menyatakan sesuatu makna atau maksud yang lain daripada makna biasa atau makna sebenar perkataan berkenaan. Terangkan juga bahawa metafora digunakan sebagai perbandingan atau kiasan.

LANGKAH KEDUA

Guru melanjutkan pelajaran dengan menanyakan pelajar pernahkah mereka melihat penggunaan metafora dalam sesebuah filem.

Guru menayangkan iklan pendek mengenai penderaan binatang berikut selepas bertanya soalan-soalan berikut:

Apakah satu metafora yang kamu lihat dalam iklan ini?

Apakah maksud yang lain daripada maksud biasa yang ingin disampaikan oleh metafora tersebut dalam iklan ini?

Guru menjemput beberapa orang pelajar untuk memberikan jawapan.
Jawapan:
a) Anak kecil di akhir iklan (metafora).
b) Metafora ini menunjukkan bahawa haiwan peliharaan harus dianggap seperti sebahagian daripada ahli keluarga yang kecil dan harus dijaga dengan penuh kasih sayang (maksud metafora).

LANGKAH KETIGA

Guru beritahu pelajar yang beliau akan menanyangkan sebuah filem pendek dan minta mereka memikirkan soalan-soalan di bawah sambil mereka menonton filem tersebut.

Apakah satu metafora yang kamu lihat dalam filem pendek ini?

Apakah maksud yang lain daripada maksud biasa yang ingin disampaikan oleh metafora tersebut dalam iklan ini?

Guru menjemput beberapa orang pelajar untuk memberikan jawapan.
Jawapan:
a) ‘Anjing terbiar’ (metafora).
b) Metafora ini menunjukkan bahawa mangsa buli siber rasakan diri mereka tidak dihormati dan dilayan sewenangnya (maksud metafora).

LANGKAH KEEMPAT

Guru menanyakan pelajar apakah perkara-perkara yang berkaitan dengan buli siber yang mereka tahu sebelum menanyangkan perkara-perkara berikut di dalam bentuk slaid:

  • Mangsa tidak mengenali para pembuli.
  • Biasanya bilangan pembuli siber hanyalah kecil; beberapa orang yang sama sahaja tetapi gambaran yang diberikan mereka adalah bilangan mereka ramai.
  • Orang dewasa tidak dapat mengenal pasti jika remaja di bawah penjagaan mereka sedang dibuli siber.
  • Pelajar lain yang tahu mangsa sedang dibuli siber hanya membisu kerana tidak mahu masuk campur.
  • Tindakan mereka ini menyebabkan pembuli siber menjadi lebih berani.
  • LANGKAH KELIMA

    Guru membentuk beberapa kumpulan pelajar dan membahagikan perkara-perkara di atas di kalangan mereka.

    Guru menanyangkan filem pendek itu sekali lagi dan meminta setiap kumpulan untuk mengenal pasti metafora-metafora dalam filem yang menerangkan perkara-perkara di atas. Setiap kumpulan boleh dberikan 1-2 perkara.

    Guru meminta setiap kumpulan untuk berkongsi pilihan mereka dan menjelaskannya.

    LANGKAH KEENAM

    Guru menunjukkan pilihan beliau (di bawah dalam bentuk slaid) dan menjelaskannya.

  • Mangsa tidak mengenali para pembuli.
    Jawapan:
    a) Para pembuli hanya dirakamkan dari paras pinggang ke bawah (metafora; 0:32-0:53).
    b) Metafora ini menunjukkan bahawa mangsa tidak mengenali siapakah yang telah membuli mereka di alam siber (maksud metafora).
  • Biasanya bilangan pembuli siber hanyalah kecil; beberapa orang yang sama sahaja tetapi gambaran yang diberikan mereka adalah bilangan mereka ramai.
    Jawapan:
    a) Hanya lima orang pembuli sahaja dan mereka muncul di tiga situasi (metafora; 0:32; 1:11; 1:47).
    b) Metafora ini menunjukkan bahawa hanya orang yang sama sahaja membuli mangsa walaupun mereka cuba menunjukkan bahawa ramai tidak menyukai mangsa (maksud metafora).
  • Orang dewasa tidak dapat mengenal pasti jika remaja di bawah penjagaan mereka sedang dibuli siber.
    Jawapan:
    a) Pengawal sekolah di pondok kawalan (metafora; 0:13).
    b) Metafora ini menunjukkan bahawa ‘anjing terbiar’ itu (mangsa buli siber) mampu masuk ke dalam kawasan sekolah dengan mudah tanpa sebarang pengawal sekolah yang mencegahnya (tidak tahu mangsa dibuli) (maksud metafora).
  • Pelajar lain yang tahu mangsa sedang dibuli siber hanya membisu kerana tidak mahu masuk campur.
    Jawapan:
    a) Para pelajar yang berada berdekatan dengan mangsa ketika ia menuju ke tandas dan mereka menghilangkan diri setelah mangsa keluar dari tandas untuk menyelamatkan diri dari terus diganggu (metafora; 1:33-1:39; 1:57-1:59).
    b) Metafora ini menunjukkan bahawa pelajar lain yang tahu mangsa sedang dibuli siber hanya membisu kerana tidak mahu masuk campur (maksud metafora).
  • Tindakan mereka ini menyebabkan pembuli siber menjadi lebih berani.
    Jawapan:
    a) Para pembuli mengejar mangsa untuk mencederakannya (metafora; 2:00-hingga akhir).
    b) Metafora ini menunjukkan bahawa para pembuli semakin bertindak berani kerana pelajar lain tidak mahu masuk campur dengan menghilangkan diri (maksud metafora).
  • LANGKAH KETUJUH

    Guru meminta setiap kumpulan untuk membayangkan diri mereka sebagai produser sebuah filem pendek. Mereka diminta untuk memikirkan bagaimana mesej cerita dalam filem pendek yang ditayangkan tadi serta perkara-perkara yang berkaitan dengan buli siber dapat diketengahkan menggunakan metafora-metafora lain dalam sebuah filem pendek yang baru.

    Setiap kumpulan diminta untuk berkongsi hasil perbincangan mereka.

    LANGKAH KELAPAN

    Guru merumuskan pelajaran dengan menekankan peri pentingnya untuk pelajar menunjukkan sifat empati dengan:
    a) tidak melibatkan diri dalam buli siber dan
    b) melaporkan kepada guru jika mereka mengetahui akan sebarang kegiatan buli siber melibatkan diri mereka (sebagai mangsa) dan rakan-rakan sekolah mereka (sebagai mangsa atau pembuli).

    Guru juga menekankan penggunaan metafora dalam penceritaan supaya pelajar menghargai teknik penyampaian mesej cerita secara simbolik.

    SEMOGA PELAJAR CIKGU SERONOK MENGIKUTI PELAJARAN INI.

    Advertisements Share this:
    Like this:Like Loading... Related